Nur Kasih mengisahkan dua beradik, Aidil dan Adam, yang mempunyai karaktor yang sangat berbeza. Aidil seorang anak yang akur kepada segala perintah ibu bapanya, penyabar dan cukup menyayangi adiknya. Dia mengambil jurusan undang-undang di Universiti Al-Azhar, Mesir dan bercita-cita untuk menjadi seorang peguam syariah. Adam pula hidup dalam suasana yang penuh eksotik di Australia, mengambil jurusan seni bina dan bercita-cita besar untuk membuka firma seni bina sendiri di Sydney. Adam seorang yang berdikari dan tegas dalam setiap keputusan yang diambil dalam hidupnya.
Ternyata anak-anak Ustaz Hassan dan Hajjah Khadijah ini sama-sama berjaya dalam pelajaran tetapi hanya seorang yang mendapat kepercayaan penuh oleh ibu bapa sendiri. Ustaz Hassan berkawan baik dengan imam kampung, Ustaz Abu Bakar, yang mempunyai dua orang anak perempuan, Nur Amina dan Siti Sarah. Nur seorang pelajar terbaik di kampungnya dan bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Malangnya keluarga Nur tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan tetapi dia tetap berusaha untuk memohon pinjaman dan biasiswa tetapi malang tetap menimpa apabila dia menerima kunjungan peminangan Ustaz Hassan.
Ustaz Hassan bertanya kepada Aidil siapakah wanita pilihannya untuk dijadikan isteri. Aidil tanpa berfikir panjang terus menyatakan minatnya terhadap Nur Amina. Tetapi keputusan yang diambil Ustaz Hassan semasa hari peminangan mengejutkan keluarganya kerana dia memutuskan Adam untuk memperisterikan Nur Amina, bukan Aidil. Walaupun kecewa, Aidil tetap bersabar dan memahami niat baik ayahnya yang cuba untuk menolong Adam. Aidil yang sangat mengambil berat tentang adiknya sentiasa memberi nasihat untuk tidak melawan kehendak ibu dan ayahnya yang semakin tenat serta tidak mensia-siakan isteri dan perempuan seperti Nur Amina.
Masa berlalu… Dengan berbekalkan perasaan sedih kerana kehilangan seorang ayah dan gadis yang dicintai, Aidil tetap meneruskan kehidupannya sebagai seorang peguam di mahkamah negeri. Adam pula berhijrah kembali ke Australia untuk meneruskan pengajian dan berjumpa dengan kekasih hati, Katrina. Nur ditinggalkan dan hidup dalam penipuan terhadap ibu bapanya yang mempercayai dia mengikut suami berhijrah ke Australia walhal kini hidup sendirian di Kuala Lumpur. Tetapi ini tidak menjadikan penghalang baginya untuk memegang segulung ijazah dalam jurusan seni bina di salah sebuah universiti terkemuka di Kuala Lumpur.
Oleh kerana terlalu gah dengan kehidupan di negara orang, arwah ayah dipersoalkan, ibu di kampung dilupakan, isteri sendiri diabaikan. Pelbagai masalah yang dilakukan oleh Adam tanpa menyedari akibatnya yang akan memakan diri sendiri. Adam tetap mengamalkan tabiat buruknya yang cukup untuk memesongkan diri dari agama. Dan kerana nafsu, dia berkahwin dengan Katrina tanpa memberitahu hal sebenar tentang isteri yang telah dibiarkan. Segalanya berubah apabila kemalangan tragik berlaku yang melibatkan Adam dan Katrina. Apakah kesudahan drama ini?
No comments:
Post a Comment